Alhamdulillah hari ini saya
berkesempatan menghadiri majlis ilmu yang dinamakan halaqah. Saya ingin
berkongsi satu kisah teladan yang saya dengar dari sesi halaqah minggu
ini.
Abdullah bin Ummi Maktum ialah seorang
sahabat nabi yang buta matanya. Beliau pernah memohon pengecualian
daripada Rasulullah SAW untuk tidak bersolat secara berjemaah di masjid
pada waktu subuh dengan alasan tiada orang yang memimpinnya. Rasulullah
bertanya, “adakah kamu dapat mendengar azan?”. Pantas beliau menjawab,
“Tentu, Ya Rasulullah”.
“Kalau begitu, tiada keringanan bagimu”,
balas Rasulullah. Sebagai hamba Allah yang tawaduk dan istiqomah dan
sahabat yang taat, Abdullah bin Ummi Maktum meraba-meraba mencari jalan
ke masjid dengan berpandukan suara azan pada waktu subuh. Tidak lama dia
keluar dari rumah dan menghayun langkah, tiba-tiba kakinya tersadung
batu lalu beliau terjatuh dan terluka wajahnya, lalu darah pun mengalir
membasahi wajah mulianya. Beliau berpatah balik ke rumah membersihkan
wajah dan menukar pakaian dan keluar semula dengan meraba-raba mencari
jalan ke masjid.
Tiba-tiba datang seorang pemuda bertanya
kepada beliau. ” Ammu (pakcik), mahu ke mana?” ” Ke masjid”, jawab
Abdullah bin Ummi Maktum. “Marilah saya tolong pimpin ammu ke masjid”,
tawar pemuda itu. Tentulah Abdullah bin Ummi Maktum berasa senang hati
dengan tawaran itu. Mulai dari sejak itu, setiap subuh Abdullah bin Ummi
Maktum keluar menunaikan solat subuh di masjid dengan ditemani oleh
pemuda itu. Namun begitu, Abdullah bin Ummi Maktum tidak pernah
mengetahui nama pemuda tersebut. Setiap kali ditanya, pemuda itu
menjawab, “untuk apa ammu perlu tahu nama saya?” “aku ingin berdoa
kepada Allah atas segala kebajikan yang kau lakukan kepadaku selama
ini”.
”Ammu tak perlu berdoa untuk saya dan
jangan lagi bertanyakan nama saya”, balas pemuda itu. Abdullah terkejut
dengan jawapan pemuda itu, beliaupun kemudian bersumpah atas nama Allah,
meminta pemuda itu untuk tidak menemuinya lagi, sampai beliau tahu
siapa dan mengapa dia terus memimpinnya menuju masjid dan tidak
mengharapkan balasan apapun.
Mendengar sumpah Abdullah bin Ummi
Maktum, pemuda itu kemudian berfikir panjang, dia kemudian berkata:
“Baiklah akan aku katakan siapa diriku sebenarnya. “Aku adalah Iblis”
jawabnya. Abdullah bin Ummi Maktum tersentak tak percaya, “Bagaimana
mungkin engkau memimpinku ke masjid, sedangkan dirimu menghalang manusia
untuk mengerjakan solat?” Iblis itu kemudian menjawab: “Engkau masih
ingat ketika dulu hendak melaksanakan solat subuh berjemaah, dirimu
tersandung batu, lalu luka wajahmu?”.
“Iya, aku ingat” jawab Abdullah bin Ummi
Maktum. “Pada saat itu aku mendengar ucapan malaikat, bahwasannya Allah
telah mengampuni setengah dari dosamu, aku takut kalau engkau tersandung
untuk kedua kali, lalu Allah menghapuskan setengah dosamu yang lain”
jelas Iblis. “Oleh kerana itu aku selalu memimpinmu ke masjid dan
mengantarkanmu pulang, khuatir jika engkau terjatuh lagi ketika
berangkat ke masjid”
Astaghfirullah, ternyata iblis tak pernah
rela sedikitpun melihat hamba Allah menjadi ahli ibadah. Terbukti semua
cara ia tempuh, hingga ia tak segan untuk menggunakan topeng kebaikan,
khuatir kalau mangsanya akan mendapatkan pahala yang berlipat ganda.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar